IrffanSabri Irffan Sabri: October 2014

Tuesday, October 21, 2014

Pemimpin Kejar Kuasa Akan Dijatuhkan Pengikut Sendiri



Assalamualaikum Wbt,
Bismillahirahmanirahim.
Pilihlah Pemimpin Berdasarkan Ketakwaan Kepada Allah SWT Dan Berkelayakan!

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT memberi tanggungjawab yang berat kepada pemimpin sebagai satu amanah bagi membawa golongan yang dipimpin mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Semakin tinggi kepemimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab yang mesti dilunaskannya.
Firman Allah SWT maksudnya : “Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa.” (Surah an-Nur, ayat 55)
Bagi meraih keberkatan Allah SWT, pemimpin mestilah memahami kehendak rakyat dan berusaha menunaikannya manakala rakyat pula mesti taat dan bekerjasama menjayakan sebarang usaha bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Tugas seorang pemimpin bukanlah untuk membahagiakan dirinya, tapi pemimpin perlu memenuhi keperluan rakyat dan bukanya kehendak semata-mata. Kewajipan pemimpin juga adalah membawa pengikutnya ke arah yang baik.


Bicara tentang "Pemimpin Kejar Kuasa Akan Dijatuhkan Pengikut Sendiri". Pada hari ini kita tidak boleh nafi bahawa ada diantara pemimpin yang disanjung, merupakan pemimpin yang zalim dan hipokrit. Pemimpin seperti ini, hanya mengejar kuasa, kepentingan, nama dan kekayaan dunia. Pemimpin yang adil akan membawa kebahagiaan manakala pemimpin yang zalim akan membawa derita. Mungkin ramai yang tidak sedar kerana dibutakan dengan wang ringgit serta kepentingan semata-mata. Hakikatnya, ramai yang diluar sana menderita akibat peruntukkan tidak sampai, janji yang tidak tertunai, pengambilan hak rakyat dan sebagainya. Jadi saya tidak mahu huraikan panjang soal ini, cukup sekadar penjelasan umum. Saya teruskan dengan pendekatan rakyat perlu kenal siapa pemimpin mereka.

Negara Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Jadi, ia berhubung ketelusan dan siapa hendak jadi pemimpin perlulah dikenali ramai. Perlu juga diketahui semua kehidupan mereka, tidak ada yang peribadi. Kalau pemimpin itu bermasalah dan tidak berubah, kita perlu tolak kerana orang ini bakal menjadi penderhaka kepada amanah rakyat. Bukan sahaja sifat hipokrit yang dia bawa, malah dia juga akan mendidik pengikutnya ke arah yang sama. Dalam masa yang sama, sebuah kawasan itu bakal jadi porak peranda akibat perbuatan pemimpin berkenaan. Contohnya di sini, "Politik Wang" dimana-mana sahaja pemimpin ini akan mengamalkan pemberian wang demi mendapat penghormatan dan sokongan penerima. Akibatnya, mereka yang pernah menerima bakal terseksa jiwa kerana mengharapkan wang berkenaan kerana bergantung kepadanya. Ada juga pengikut yang tidak ada kerja, namun dibayar secara pukal, sanggup melakukan perbuatan yang keji tanpa disedari akibat kemaruk wang. Tambahan pula, apabila berlaku pemilihan atau pilihanraya, wang menjadi taruhan untuk menentukan kemenangan. Individu seperti itu dalam masa yang sama membawa kehancuran kepada generasi akan datang kerana ia sudah tercemar. Persoalanya, Dari mana datangnya wang yang banyak itu? Tepuk dada tanya selera. Rakyat perlu teliti dan bijak dalam memilih pemimpin serta berdikari untuk mendapat keberkatan dalam hidup, dimana maruah kita andai kita letak diri kita pada orang.


Amanah sebagai seorang pemimpin itu sangat berat. 
Tanggungjawab jika dilaksanakan secara kolektif dan penuh keikhlasan akan menerbitkan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. bukannya mudah. Akan ada kawan dan lawan. Sebagai rakyat pula, kita tentulah berharap agar setiap pemimpin itu akan sentiasa memberikan yang terbaik, bukan membelakangkan kepentingan rakyat. Demikian juga sebagai pemimpin, tidak sepatutnya mereka mementingkan populariti, menceburkan diri dalam arena politik semata-mata untuk menambah harta dan kekayaan peribadi, menggunakan wang dan menyalahgunakan kedudukan politik untuk menarik sokongan. Kuasa yang ada sebenarnya adalah amanah dan hendaklah digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat Namun apa yang berlaku ialah tidak semua pemimpin mempunyai keikhlasan dalam memikul tanggungjawab mereka bahkan tidak menyedari tentang beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Mereka menjadikan jawatan sebagai batu loncatan untuk menjadi jutawan. Oleh sebab itu janganlah kita merasa hairan apabila ramai yang berani menampilkan diri untuk menjadi pemimpin malah berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin padahal dalam hati mereka sendiri tidak ada keikhlasan. Maka di sinilah pentingnya peranan rakyat dalam memilih bakal pemimpin mereka. Adakah dia benar-benar layak atau sebaliknya kerana jika kita tersilap dalam memilih, padahnya adalah kepada kita sendir sebagai rakyat dan negara juga akan ditimpa mudharat.


Akhir kata, berbalik semula kepada tajuk asal, pemimpin yang kejar kuasa bakal dijatuhkan pengikutnya sendiri. Pengikut yang dimaksudkan adalah bekas pengikut setianya yang telah masak mengenali siapa beliau dan tidak dapat menerima pembohongan pemimpin berkenaan, mungkin juga mereka pernah dizalimi. Kedua, pengikut yang bersamanya sekarang, ini disebabkan apabila seorang pemimpin itu terlalu lama dan masih kejar kuasa, dalam masa yang sama pemimpin itu semakin alpa dan serba lupa. Ekoran itu, pemimpin itu telah membuang semua permata dan menggantikan dengan kaca. Permata yang setia dengan ikhlas tanpa mengharapkan wang ringgit. Kaca yang penuh dusta mengharapkan hidup yang lebih baik malah ada juga talam dua muka juga tahu kebenaran namun menafikanya. Percayalah bahawa dengan mengejar kuasa itu tidak akan kemana. Perlu muhasabah diri dan belajar terima kehendak Allah Swt. Redha dengan segalanya. Jangan mudah menghukum orang sesuka hati tanpa mengetahui kebenaran sebenar, Pesanan saya, 
 jangan tersilap ketika membuat pilihan kepada siapakah amanah yang besar ini hendak diserahkan. Jika kalian memilih orang yang tidak berkelayakan maka akibatnya negara akan diwariskan oleh orang-orang zalim dan fasik, yang akan membuat banyak kerosakan dimula bumi ini.


Semoga kita diberi petunjuk untuk bersama kebenaran. Amin.




Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment